" Life is too short, grudges are waste of perfect happiness..Laugh when you can, apologize when you should and let go of what you can't change..Love deeply and forgive quickly..Take chances, give everything and have no regrets..Life is too short to be unhappy..You have to take the good with the bad, smile when you're sad, love what you got and always remember what you had..Always forgive but never forget learn from your mistakes..But never regret.. People change, and things go wrong..But always remember..LIFE GOES ON... "



Cerita Kanak-kanak : Dua Puteri

Pin Pin Pon Pon || , , , ,
Cerita ini telah terbit dalam majalah MamaPapa terbitan AcePremier.com Sdn Bhd untuk keluaran April 2015 dan telah menjadi hak milik ekslusif majalah MamaPapa. Kalau nak guna untuk bercerita boleh je, tapi harap janganlah copy untuk assignment atau nak terbitkan buku ye.. cerita ni 100% hasil tulisan saya.. Saya pun hanya boleh keluarkan cerita ini setelah ia diterbitkan.. harap maklum.. 
Terima kasih.. Selamat membaca..


Dua Puteri
Oleh : Ainismaira

Di dalam sebuah istana yang indah di Negeri Kayangan tinggal dua adik beradik puteri yang sangat cantik. Puteri pertama bernama Seri Dewi, puteri yang kedua pula bernama Seri Maya.  Seri Dewi adalah kakak kepada Seri Maya. Seri Maya menjadi pujaan ramai putera kayangan kerana kecantikan dan kelembutannya. Keadaan itu membuatkan Seri Dewi mencemburui akan Seri Maya.
                Pada suatu hari, Seri Dewi mengajak Seri Maya turun ke bumi untuk bermain. Seri Maya tidak bersetuju kerana khuatir dimarahi ayahanda mereka. Namun Seri Dewi tetap memaksa dan menyatakan bahawa ingin membawa Seri Maya ke tempat yang lebih menarik. Kerana tidak mahu mengecewakan kakaknya, Seri Maya pun bersetuju tetapi dengan syarat mereka harus pulang sebelum hari senja. Seri Dewi gembira, namun dalam kepalanya ada rancangan jahat untuk menyingkirkan Seri Maya daripada istana Kayangan.
                Seri Dewi dan Seri Maya turunlah ke bumi dengan menggunakan tongkat sakti milik ayahanda mereka. Seri Maya sangat teruja melihat air terjun yang sangat cantik. Air sungainya mengalir tenang. Banyak bunga-bunga yang berbau harum di situ. Seri Maya segera menghampiri sungai dan bermain air dengan kekandanya Seri Dewi.
                “Maya, cantikkan tempat ini? Kanda selalu datang di sini untuk menenangkan fikiran sekiranya ayahanda murka dengan kanda,” tiba-tiba Seri Dewi bersuara. “Ya kanda Dewi, tempat ini memang cantik, adinda sangat suka dengan tempat ini…” kata Seri Maya pula. “Dinda, kanda mahu ke sana sebentar ya...” kata Seri Dewi terus berlalu meninggalkan Seri Maya seorang diri.
                Seri Maya segera bangun mengejar kakaknya kerana dia berasa takut ditinggalkan seorang diri. Tetapi Seri Dewi terus berlari. Seri Maya menjerit memanggil namanya namun tidak diendahkan. Seri Dewi segera menggunakan tongkat sakti milik ayahanda mereka dan pulang ke Negeri Kayangan. Seri Dewi meninggalkan Seri Maya di bumi seorang diri. Seri Maya yang terkejut dengan tindakan kakaknya terus menangis. Seri Maya tidak menyangka bahawa Seri Dewi mempunyai niat jahat kepadanya, kerana bagi Seri Maya kakaknya seorang yang sangat baik hati.
                Hujan turun dengan lebatnya, Seri Maya terus menangis. Seri Maya tidak tahu bagaimana caranya untuk pulang ke Negeri Kayangan. Tangisannya didengari oleh seorang nenek tua. “Siapa anak ini, kenapa anak menangis?” soal nenek tua itu. Seri Maya terkejut kerana ada manusia yang dapat melihatnya, rupa-rupanya hari sudah malam. Seri Maya tidak boleh tinggal lama di bumi kerana kuasa saktinya akan hilang, dan dia akan menjadi manusia biasa. “Saya tersesat nek,” jawab Seri Maya ringkas. “Kasihan, nama nenek, nenek Siah, marilah ikut nenek pulang ke rumah, baju kamu sudah basah, nanti kamu akan demam jika tidak menukar pakaian,” kata nenek itu lagi. Seri Maya bingkas bangun dan mengikut nenek tua itu. Dalam hatinya masih berasa sedih dengan perbuatan kakaknya.
                Seri Maya tinggal dengan nenek Siah. Nek Siah menjaga Seri Maya dengan penuh kasih sayang. Seri Maya berasa gembira, selepas sepurnama tinggal di bumi, Seri Maya telah menjadi manusia biasa, dia tidak lagi mampu mengingati kehidupannya di Istana Kayangan. Sepurnama di bumi sama dengan satu hari di Negeri Kayangan.
                Di istana Kayangan, Seri Dewi bersuka ria kerana rancangan jahatnya telah berhasil. Namun Seri Dewi tidak menyedari bahawa ayahanda dan bondanya telah mengetahui perbuatannya. “Dewi! Ayahanda tidak menyangka kamu akan buat begitu kepada adindamu Maya,” Seri Dewi terkejut kerana dimarahi ayahandanya. “Ayahanda, Dewi... Dewi... Dewi minta maaf ayahanda,” rayu Seri Dewi. “Bonda mahu kamu turun ke bumi dan bawa pulang semula adindamu Maya, jika tidak kamu akan terus dibuang dari Negeri Kayangan ini, jadilah kamu manusia biasa di sana!” kata bonda Seri Dewi. Seri Dewi menangis dan merayu supaya tidak dibuang ke bumi. Tetapi permintaannya tidak diendahkan oleh ayahanda dan bondanya.
                Seri Dewi turun ke bumi untuk mencari adindanya Seri Maya, namun tidak juga ketemu. Jauh Seri Dewi berjalan, berhari-hari lamanya sehinggakan badannya menjadi lemah kerana kuasanya sudah tidak ada lagi. Akhirnya Seri Dewi rebah. Dia sudah tidak berdaya lagi. Bayang Seri Maya tidak kelihatan. Seri Maya telah pergi jauh. Seri Dewi menyesal dengan perbuatannya, dia lupa akan kasih sayangnya kepada Seri Maya. Sifat cemburu dalam dirinya telah memakan diri sendiri. Seri Maya tidak dijumpai, Seri Dewi kekal di bumi menjadi manusia biasa.


Pengajaran : Kita hendaklah menjauhi sifat cemburu, Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati, sifat cemburu tidak memberi manfaat melainkan cemburu akan perkara-perkara kebaikan. 





Cerita Kanak-kanak - Burung Bangau Yang Baik Hati

Pin Pin Pon Pon || , , ,

Cerita ini telah terbit dalam majalah MamaPapa terbitan AcePremier.com Sdn Bhd untuk keluaran Mac 2015 dan telah menjadi hak milik ekslusif majalah MamaPapa. Kalau nak guna untuk bercerita boleh je, tapi harap janganlah copy untuk assignment atau nak terbitkan buku ye.. cerita ni 100% hasil tulisan saya.. Saya pun hanya boleh keluarkan cerita ini setelah ia diterbitkan.. harap maklum.. 
Terima kasih.. Selamat membaca..


Burung Bangau Yang Baik Hati
Oleh : Ainismaira

            Di sebuah tasik tinggal sekawan burung bangau. Di tasik itu terdapat banyak ikan, oleh itu, bangau sangat suka tinggal di situ. Pada suatu hari, bangau berasa sangat lapar tetapi tiada seekor ikan pun yang dijumpai di tasik itu. Namun, bangau tidak berputus asa, bangau mencari ikan dari waktu pagi hingga matahari naik tinggi.
            Sedang bangau leka mencari ikan, itik datang menghampirinya. “Bangau, aku tengok kau di sini dari pagi tadi, apa yang kau buat?” soal itik. “Aku lapar, aku sedang mencari makanan,” jawab bangau ringkas. “Kasihan aku lihat kau, sekarang sudah tidak banyak ikan di sini, mungkin sebab kau dan keluarga kau telah menghabiskan ikan-ikan di sini,” kata itik menyindir bangau. Bangau tidak mempedulikan itik dan terus mencari ikan di situ.
            Setelah puas mencari ikan, akhirnya bangau dapat menangkap seekor ikan. Bangau sangat gembira. Tiba-tiba ikan itu bersuara, “Wahai sang bangau, janganlah kau makan aku…” bangau terkejut mendengar suara ikan itu. “Kenapa ikan? Kau kan memang makanan aku,” jawab bangau. “Memang aku makanan kau, tetapi, sekarang aku sedang mencari ubat untuk mengubati ibuku yang sakit, kau bagilah aku masa untuk mengubati ibuku, selepas itu aku akan datang ke sini semula, dan waktu itu kau makanlah aku,” kata ikan itu. Bangau terdiam mendengar permintaan ikan.
            “Kalau aku lepaskan ikan ini, pasti aku akan kelaparan, tetapi kasihan pula aku lihat ikan ini, pasti dia sedang berasa sedih kerana ibunya sakit,” bisik bangau di dalam hatinya. “Baiklah ikan, aku lepaskan kau, kau pergilah cari ubat untuk ibu kau, pasti dia sedang tunggu kau pulang,” kata bangau lalu melepaskan ikan ke dalam air semula. “Terima kasih bangau, apabila ibuku sembuh aku akan kembali semula ke sini,” jawab ikan lalu pergi dari situ. Bangau percaya kepada rezeki yang Allah beri, bangau yakin yang dia akan mendapat rezeki yang lain pula.
            Selepas sahaja bangau melepaskan ikan tersebut, secara tiba-tiba tasik itu bagaikan dipenuhi ikan. Bangau berasa terkejut, namun bangau bersyukur kerana Allah telah memberi rezeki kepadanya di atas kebaikan yang dilakukannya sebentar tadi. Bangau sangat gembira. Setelah kenyang bangau berehat di tepi tasik. Bangau berasa mengantuk lalu tertidur.
            Tiba-tiba bangau tersedar dari tidurnya kerana terdengar suara ikan memanggilnya.. “Bangau, oh bangau, bangunlah, aku ni ikan…” kata ikan itu. “Oh, kamu ikan, bagaimana dengan ibu mu?” soal bangau. “Alhamdulillah, ibuku sudah beransur pulih… jadi sekarang aku datang untuk membalas budimu wahai bangau…” kata ikan. “Membalas budi aku? Apa yang kau maksudkan ikan?” soal bangau tidak mengerti akan maksud ikan.
            “Bangau, aku datang ke sini supaya kau boleh makan aku seperti yang aku janjikan,” jawab ikan ringkas. Bangau terdiam dan berfikir. “Ikan ini sangat menepati janjinya, tetapi aku sudah mendapat rezeki yang lebih banyak tadi, kenapa aku harus tamak?” bisik bangau di dalam hati. “Makanlah aku wahai sang bangau,” rayu ikan. “Maafkan aku ikan, tetapi aku sudah kenyang. Aku tidak mahu makan kau. Kau pergilah pulang,” pinta bangau. “Kenyang? Tetapi di sini sudah tiada ikan, Cuma aku dan ibuku sahaja yang tinggal di sini,” jawab sang ikan. Bangau terkejut mendengar kata-kata ikan. “Tetapi, selepas aku melepaskan kau tadi, banyak ikan yang timbul di sini,” jawab bangau kehairanan.
            “Banyak? Di mana?” soal ikan semula. “Di tempat aku bertemu kau wahai ikan,” jawab bangau. “Tapi bangau, di tempat itu memang tiada ikan yang tinggal. Mungkin ini kekuasaan Allah. Allah telah memberi kau ganjaran kerana kebaikan kau pada aku,” kata ikan. “Ya, ikan. Aku yakin itu semua adalah ganjaran daripada Allah. Sekarang kau pulanglah dan temani ibu mu…” balas bangau. Ikan pun berterima kasih kepada bangau kerana melepaskannya pergi. Ikan berenang dengan gembira. Bangau sangat bersyukur kerana di atas kesabaran dan kebaikannya, Allah telah memberinya rezeki yang tidak terhingga. Bangau segera terbang dari situ dan pergi mencari tempat tinggalnya yang baru.


Pengajaran : Kita hendaklah sentiasa berbuat baik sesama makhluk Allah, kerana Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda di atas kebaikan yang kita lakukan. Tidak ada ruginya sekiranya kita berbuat baik dengan semua makhluk Allah.




Cerita Kanak-kanak - Ayam Yang Sombong

Pin Pin Pon Pon || , ,
Cerita ini telah terbit dalam majalah MamaPapa terbitan AcePremier.com Sdn Bhd untuk keluaran Feb 2015 dan telah menjadi hak milik ekslusif majalah MamaPapa. Kalau nak guna untuk bercerita boleh je, tapi harap janganlah copy untuk assignment atau nak terbitkan buku ye.. cerita ni 100% hasil tulisan saya.. Saya pun hanya boleh keluarkan cerita ini setelah ia diterbitkan.. harap maklum.. 
Terima kasih.. Selamat membaca..




Ayam Yang Sombong
Oleh : Ainismaira
                                                                                                                                               
Cici ialah seekor ayam betina yang sangat cantik. Bulu Cici yang cantik menjadi bualan ayam-ayam yang lain. Cici menjadi rebutan semua ayam jantan yang berada di dalam reban Pak Epi. Tetapi Cici sangat sombong. Cici tidak mahu bergaul dengan ayam-ayam betina yang lain.
            Cici mempunyai lima ekor anak, tetapi Cici hanya menjaga seekor anaknya yang paling cantik iaitu Mimi. Mimi mempunyai bulu yang cantik berwarna keemasan. Cici sangat menyayangi Mimi. Empat ekor anaknya yang lain diabaikan.
            Pada suatu hari Cici membawa Mimi mencari makanan, empat anaknya yang lain juga turut serta. “Ibu, kami lapar…” kata anak-anak Cici yang lain. “Carilah makanan kamu sendiri, aku sedang mencari makanan untuk Mimi,” kata Cici dengan nada yang tinggi. Mimi hanya menjeling adik beradiknya yang lain sambil duduk beristirehat di tempat yang teduh.
“Tapi ibu, kami juga anak-anak ibu,” sambung anaknya lagi. “Kamu bukan anak aku! Kamu tidak cantik seperti aku! Lihatlah bulu aku yang cantik ini. Hanya Mimi yang mempunyai bulu cantik seperti aku!” kata Cici dengan marah dan menghalau anak-anaknya yang lain pergi dari situ.
“Sampai hati ibu buat kami begini,” kata anak-anak Cici dan terus berlalu pergi sambil menangis teresak-esak. Empat ekor anak ayam yang malang itu berjalan tanpa arah tujuan. Tiba-tiba seekor dari mereka terlanggar seekor lembu yang sedang meragut rumput.
“Kenapa kamu menangis wahai anak ayam?” soal sang lembu. “Kami sedih sang lembu, ibu kami menghalau kami kerana kami tidak secantik adik kami. “Kasihan aku melihat kamu wahai anak ayam, biarlah aku menjaga kamu semua, aku juga tinggal sendirian di sini,” pelawa Sang Lembu. Anak-anak ayam berasa sangat gembira kerana mereka sudah ada tempat tinggal yang baru.
Pada suatu hari, Cici membawa Mimi bersiar-siar di tepi tasik. Cici melihat keluarga itik sedang beristirehat di situ. Cici menghampiri itik-itik tersebut dan menceritakan tentang kecantikan anaknya Mimi. Semua itik di situ berpandangan antara satu sama lain. Tmiba-tiba seekor daripada itik itu berkata, “Anak kamu memang sangat cantik, tetapi di sini sangat bahaya, ramai kanak-kanak yang bermain di sini. Mereka suka mengganggu kami, anak aku juga telah di bawa pergi oleh mereka,” kata itik itu dengan sedih.
Namun, Cici tidak mempedulikan kata-kata itik tersebut. Cici berlalu pergi. Tiba-tiba sekumpulan kanak-kanak datang. “Lihat ada ayam di sini! Wah cantiknya anak ayam itu! Mari kita tangkap anak ayam itu!” Cici terkejut dan cuba melarikan diri dengan Mimi. Namun, Mimi berjaya ditangkap oleh kanak-kanak tersebut. Mimi menjerit, “Ibu! Ibu! Tolong Mimi,” namun suara Mimi semakin jauh, Cici pula tercedera kerana terlanggar batu di tepi tasik itu. Cici menangis teresak-esak dan pulang ke rebannya dengan sedih.
“Kenapa kamu menangis Cici,” tanya seekor ayam betina di situ. “Anak aku Mimi telah dilarikan orang…” Cici menangis lagi. “Tapi, kamu kan masih mempunyai empat ekor anak yang lain?” soal ayam itu lagi. “Aku telah menghalau mereka, kerana mereka tidak secantik Mimi. Aku menyesal” kata Cici dengan perasaan hampa dan menyesal.
Anak-anak Cici yang lain terus hidup gembira bersama sang lembu. Cici pula masih menanti Mimi pulang. Setiap petang Cici akan pergi ke tepi tasik menunggu Mimi, namun setelah beberapa bulan menunggu, Mimi tidak dijumpai. Cici sangat menyesal di atas perbuatannya selama ini, kerana kesombongannya Cici kehilangan kesemua anak-anaknya.

Pengajaran : Allah menjadikan setiap makhlukNya pelbagai bentuk dan rupa, setiap daripadanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Janganlah kita menilai peribadi seseorang melalui paras rupa sahaja, sebaliknya nilailah mereka daripada hati dan budi pekerti.






Tips Jimat 'Duit Makan' Untuk Student

Entry khas buat adik saya "Nor Athirah Binti Ismail"...

Firstly, tahniah coz diterima masuk melanjutkan pelajaran di Politeknik Merlimau, Melaka.. Seronok eh, akhirnya impian dan doa Allah tunaikan.. Belajar rajin-rajin tau..

Perkara pertama yang menjadi masalah untuk student baru ni, biasanya mestilah duit kan.. Semester pertama ni selalunya banyak guna duit, student yg dapat laptop 1 Malaysia tu untung, sebab tak perlu fikir duit untuk laptop.. lagipun harga laptop sekarang tidaklah semahal dulu.. Sementara nak tunggu duit PTPTN masuk, memang la kena beringat duit tu..

Berdasarkan pengalaman belajar dulu-dulu boleh la bagi tips sikit kat adik saya (atau sesiapa yg rasa tips ni berguna)... :)

1. Breakfast penting.. jangan skip breakfast.. Tak perlulah setiap hari nak breakfast makanan berat nasi lemak ke, cukup la dengan roti + air kosong, biskut ke.. janji perut tak kosong.. biasa kalau beli biskut tu boleh la tahan sebulan ek.. sekali sekala boleh la nak berat2... akak dulu breakfast beli je roti yang Gardenia (Spicy Bilis/Coklat/Jagung dll). Air plak bawak sendiri la.. jgn mls bawak air sendiri ek, berat sikit je, bawak botol kecik yg 500ml je.. Kalau habis boleh isi kat water cooler kan (kalau ade).

2. Lunch : Kalau lepas waktu lunch dah tak ada kelas, lebih baik bungkus dan makan kat kolej/bilik/rumah sewa. Macam yg akak pernah bagitau.. Beli asing lauk & nasi.. Ambil nasi penuh dalam polistrin tu.. Lauk plak, banyakkan makan sayur, sebab sayur lebih murah daripada ayam, ikan dll.. Kalau nak makan ayam/daging, cari lauk yang dah dicampurkan sekali, contohnya tomyam/paprik/sup.. So dalam tu dah ada protein + sayuran kan.. Kalau nak beli ayam, ambil bahagian isi(dada) atau kepak.. sebab boleh belah dua.. Sebab suruh buat macam ni, nasi tu boleh makan 2x untuk dinner sekali.. lauk tu pun sama.. kalau kita beli nasi campur terus lauk dan nasi, makanan tu akan cepat basi.. :D

Kalau lepas waktu lunch masih ada kelas, dan susah nak balik kolej/bilik/rumah sewa, boleh la makan kat kedai/cafe dll.. tapi eloknya makan nasik + lauk sayur.. murah.. serius.. air plak, minum air kosong je, sbb free.. :D

3. Tea-time : Tea time ni kadang-kadang tak perlu pun tak ape.. makan biskut + minum air pun ok.. sekali sekala boleh la beli kuih ke, pisang goreng ke.. tapi berpada-pada la.. perut sorang je nak makan kan.. :D

4. Dinner : Makan malam ni, makan jek nasi lebih tengahari tadi.. hihi.. kalau masih elok, biasanya kalau simpan elok, boleh makan lagi.. Hujung minggu ke boleh la nak makan sedap2 sikit.. nasi goreng paprik ke kan.. tau favret kamu.. hihi..

InsyaAllah kalau ikut tips camni, sehari makan takkan lebih RM10... Nak berjimat ni senang, limitkan sehari nak guna berapa.. Contoh kalau sehari kita dah bajet RM10 untuk makan, just gunakan duit tu je, kalau ada lebih Alhamdulillah.. masuk dalam tabung.. :D Hujung minggu boleh makan sedap2.. hihi.. Kalau dah dapat duit PTPTN pun boleh guna tips ni.. xrugi pun berjimat :D

*Kalau duk kolej yang benarkan student bawa rice cooker, so baik bawak & masak nasi sendiri.. pakat2 dengan roomate/housemate.. kalau duk rumah sewa nanti pun lagi best, boleh masak sendiri.. sebab lagi nak pakai duit kan, nak bayar sewa..

Hope tips yg akak bg ni berguna buat kamu.. 



Borang Nikah dan Ujian Saringan HIV

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, hari ni selesai buat ujian HIV, lebih sebulan jugak saya Google prosedur HIV Test ni, ternyata setiap negeri dan setiap klinik berbeza sangat prosedurnya..

Ok lah, rujukan ini saya buat untuk bakal pengantin dari Negeri PERAK sahaja, dan di kawasan Bidor atau Tapah.. kalau area lain saya tak tau la.. saya buat entry ni sebab jenuh jugak Google sana sini.. tapi xada jawapan.. jawapannye kene pergi dan buat sendiri.. hehe..

Alkisahnye hari ni pergi Tapah untuk ambil mykad yg dah sebulan siap, so singgah la Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) depan pejabat Pendaftaran, kat pekan Tapah je, xsusah nak cari.. Untuk urusan perkahwinan, sila naik ke tingkat 1.. nak masuk tu kena bukak kasut, bila dah naik ternampak notis, "Sila Berpakaian Sopan" haaa.. nasib la xpakai seksi2.. mih3..

Asalnya nak ambil borang nikah sekali, tapi malangnya dah tak ada borang nikah ye, semua kena online.. Sila layari laman web SPPIM (Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia). Negeri yang terlibat dengan SPPIM ni ialah Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah dan Perak. Nak cerita lebih lanjut pun tak boleh lagi, sebab saya belum isi dan masih menunggu borang dari pihak lelaki.

 Ok dah tak boleh beli borang tu, saya tanya la tentang borang HIV Test, menurut kata orang PAID tu borang tu pun ada dalam sistem online, tapi dia bagi juga pada saya borangnya. Alhamdulillah. Borang ni free je. Mulanya ingat nak buat kat Klinik Kesihatan Bidor je, tapi berdasarkan pengalaman kat Klinik tu agak memeningkan kepala dan memenatkan kepala otak saya decide untuk buat di Poliklinik Komuniti, Jalan Damai Tapah.

 Alang-alang dah sampai Tapah, saya ajak la abah pergi, nak tanya je la dulu boleh buat ke tak, sebab kalau medical check up memang kena buat kat Klinik Kesihatan Bidor, cuma x ray je ambil di Poliklinik Tapah ni. So saya pergi tanya la dulu.. Make sure borang ujian saringan tu dah isi la.. Masa saya tanya tu saya tak isi lagi, dah siap isi tu saya nak bagi kat kaunter pendaftaran, orang tu minta 2 salinan pulak.. hehe.. jadi kena la pergi photostat, kalau dah tulis tak pe, buat aje satu salinan lain, sebab satu untuk simpanan pihak klinik tu.

 Ok, bila dah ada 2 salinan, pergi balik kaunter pendaftaran, nanti kita akan diberi satu lagi borang dan nombor.. kena isi borang lagi, borang tu ada dua salinan, satu putih dan satu pink.. ala borang yg ade karbon tu, tulis sekali automatik yg belakang pn ttulis.. haha xtau ape jenis borangnye, tapi rasanya korang faham.. Ok dah isi semua, boleh la masukkan borang tu dalam box kat kaunter pendaftaran. Tunggu sehingga nama dipanggil. Hari tu tak ade orang buat HIV test, mmg saya sorg je. jadi tak ada la perlu tunggu lama..

Dalam 5 minit macam tu nama pun dipanggil. Masa ni kena buat bayaran, RM1.00 sahaja. Lepas tu boleh terus pergi ke Bilik 6. Sampai kat bilik 6, masukkan borang dalam box kat dalam bilik tu, kalau blur, cakap je kat pegawai dalam tu, nak buat HIV Test.. nanti dia akan bagi satu borang untuk isi nama & no mykad, lepas tu soalan sikit la pasal gaya hidup kita.. saya tak ambil gambar, sebab bukan jenis suka ambil gambar, lagipun nak cepat2 kan. hihi.. dah siap hantar balik pada pegawai tu. tunggu nama dipanggil.. :D

 Tak sampai 5 minit macam tu nama saya pun dipanggil.. "Nak tanya soalan sikit, sikit je.. Duduk sana dulu" haha kata orang tu.. tapi die tak tanye pun, mungkin terlupa.. rasanya mungkin dia akan tanya, pernah tak melakukan hubungan s*ks.. sebab daripada yg saya survey macam tu la soalannye.. Tapi tak ada pula dia tanya, terus cucuk hujung jari telunjuk, dan letak darah kat alat pengesan HIV tu.. lepas tu dia suruh kita tunggu kat luar.. Keputusan terus dapat ye, xyah tunggu berhari2, berminggu2 atau berbulan2..

 Kurang 5 minit kemudian nama saya dipanggil lagi, dan pegawai berkenaan bagi satu sampul "Urusan Seri Paduka Baginda" katanya, Ok, dah boleh hantar kat Pejabat Agama ye.. Haha.. ok, dah faham la maksudnya, tapi nak jugak tengok keputusan tu sendiri.. Alhamdulillah, non-reactive (tidak reaktif) maksudnya kita bebas la daripada HIV..


 Oh ya, saya buat HIV Test ni pagi.. pukul 9 mcm tu.. rasanya kalau kat Poliklinik Komuniti Tapah ni boleh buat bila-bila masa, boleh terus walk-in, tak perlu appointment.. macam tu la senang kan.. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan yang satu ni.. :D Masa menunggu pun tak ada la lama sangat.. Kepada yang malas nak baca, saya buat ringkasan je kat bawah ni ye.. Semoga bermanfaat.. :)


 PROSEDUR HIV TEST NEGERI PERAK (BIDOR/TAPAH)

1. Ambil borang Persetujuan Menjalani Ujian Saringan HIV di Pejabat Agama Islam Daerah (Tapah) atau dapatkan borang online di web SPPIM
2. Pergi klinik (Poliklinik Komuniti, Jalan Damai, Tapah). Boleh walk-in, tak perlu appointment dan boleh datang bila-bila masa. Orang Bidor boleh pergi Klinik Kesihatan Bidor, saya orang Bidor, tapi saya nak pergi kat Tapah.. :p

3. Isi borang dalam 2 salinan. (satu untuk simpanan klinik)

4. Pergi kaunter pendaftaran dan nyatakan ingin membuat Ujian HIV (HIV Test) untuk perkahwinan. Nanti akan diberi satu lagi borang untuk diisi, isi borang tersebut dan letakkan di dalam box di kaunter pendaftaran.

5. Tunggu nama dipanggil.

6. Apabila nama dipanggil, buat pembayaran sebanyak RM1.00 sahaja.

7. Setelah selesai, terus pergi ke bilik 6

8. Nyatakan ingin buat ujian HIV kepada pegawai bertugas. Masukkan borang dalam box. Kemudian, kita akan diberi satu borang isi nama dan no mykad. tandakan gaya hidup anda mengikut pilihan.. (Sila bersikap jujur) sekiranya tiada yang berkenaan, tanda TIADA RISIKO

9. Hantar semula di bilik 6. tunggu nama dipanggil.

10. Bila nama dipanggil, mungkin kita akan ditanya beberapa soalan (tapi pegawai tu terlupa nak tanya saya :p )

11. Terus ambil darah, hulur jari telunjuk... tak sakit okey.. lepas tu baru sakit.. ni pun sampai sekarang menaip ni rasa sakit.. 

12. dah siap tu tunggu la kat luar.. sekejap je, result tu terus dapat..

13. pastu nama akan dipanggil, pegawai akan bagi satu sampul.. dalam tu ada keputusan ujian..

14. Tidak reaktif mananya anda bebas dari HIV.. weee.. dah boleh proceed..



Sekian terima kasih.. :D





Related Posts with Thumbnails